|
Bimbingan/peringatan buat saya( insan dhaif ) yang serba-serbi kekurangan dan juga untuk saudara-saudaraku Muslimin dan Muslimat serta Mukminin dan Mukminat.
Insya Allah, anda boleh mendapatkan lagi panduan-panduan yang sangat berguna dalam tujuh bahasa dengan lunsuri ke lelaman http://www.quran.al-islam.com
Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a katanya:
Aku bertanya Rasulullah s.a.w: Apakah dosa yang paling besar di sisi Allah? Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau menjadikan iaitu menganggap ada yang sebanding dengan Allah sedangkan Dialah yang menciptakanmu. Aku berkata: Sesungguhnya dosa demikian memang besar. Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Kemudian engkau membunuh anakmu kerana bimbang dia makan bersamamu iaitu makananmu ( bunuh anak kerana takut miskin ). Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Rasulullah s.a.w bersabda: Jika engkau berzina dengan isteri jiranmu.
- Hadith dari Imam Muslim
Hadis Abdullah bin Amru r.a katanya:
Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Ada empat perkara jika sesiapa yang mempunyai empat perkara tersebut, maka dia merupakan orang munafik. Sesiapa yang bersifat dengan salah satu daripadanya bererti dia bersifat kemunafikan, sehinggalah dia meninggalkannya iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila membuat persetujuan dia mengkhianati, apabila berjanji dia menyalahi dan apabila berlaku pertikaian dia melampaui batas. - Hadith dari Imam Muslim
Hadis Abu Hurairah r.a:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Tanda-tanda orang munafik ada tiga perkara, iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia memungkiri dan apabila diberi amanah dia mengkhianatinya. - Hadith dari Imam Muslim
Hadis Abu Hurairah r.a:
Rasulullah telah bersabda: Jauhilah tujuh perkara yang boleh membinasakan kamu iaitu menyebabkan kamu masuk Neraka atau dilaknati oleh Allah. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah tujuh perkara itu? Rasulullah bersabda: Mensyirikkan Allah iaitu menyekutukan-Nya, melakukan perbuatan sihir, membunuh manusia yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan hak, memakan harta anak yatim, memakan harta riba, lari dari medan pertempuran dan memfitnah perempuan-perempuan yang baik iaitu yang boleh dikahwini serta menjaga maruah dirinya, juga perempuan yang tidak memikirkan untuk melakukan perbuatan jahat serta perempuan yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya dengan fitnah melakukan perbuatan zina. - Hadith dari Imam Muslim
Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t berfirman kepada Malaikat pencatat amalan: Apabila hambaKu berniat ingin melakukan kejahatan, maka jangan lagi kamu menulisnya sebagai amalan kejahatan. Apabila dia melakukannya barulah kamu menulisnya sebagai satu amalan kejahatan. Jika hambaKu berniat ingin melakukan kebaikan, tetapi dia tidak lagi melakukannya, maka catatkanlah sebagai satu amalan kebaikan. Jika dia melakukannya maka catatkanlah kebaikan itu sepuluh kali ganda.
- Hadith dari Imam Muslim
Hadis Ibnu Abbas r.a:
Diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w tentang hadis Qudsi yang baginda riwayat daripada Allah s.w.t di mana Allah telah berfirman: Sesungguhnya Allah mencatat kebaikan-kebaikan dan kejahatan-kejahatan. Kemudian baginda menerangkan hal itu: Sesiapa berniat ingin melakukan kebaikan, tetapi tidak lagi melakukannya, maka Allah mencatatkan niat itu sebagai kebaikan yang sempurna di sisi-Nya. Jika seseorang itu berniat ingin melakukan kebaikan lalu dia melakukannya, maka Allah mencatatkan di sisi-Nya sepuluh kebaikan hingga sampai tujuh ratus kali ganda seterusnya hingga kepada gandaan yang sebanyak-banyaknya. Jika seseorang berniat ingin melakukan kejahatan tetapi tidak melakukannya, maka Allah mencatatkannya sebagai satu kebaikan yang sempurna di sisi-Nya. Jika dia berniat untuk melakukan kejahatan lalu melakukannya maka Allah mencatatnya sebagai satu amalan kejahatan sahaja. - Hadith dari Imam Muslim
Hadis Abu Hurairah r.a:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t ( 'rahmat Allah' ) akan turun ke langit dunia setiap malam ketika sepertiga malam yang terakhir, seraya berfirman: Sesiapa yang berdoa kepadaKu, maka Aku akan menerima permintaannya dan sesiapa yang meminta keampunan dariKu maka Aku akan mengampuninya.
- Hadith dari Imam Muslim
Hadis Zaid bin Khalid Al-Juhaniy r.a katanya:
Rasulullah s.a.w mendirikan sembahyang bersama kami di Hudaibiah, selepas hujan turun pada malam tersebut. Setelah selesai sembahyang, baginda menghadap kepada kaum Muslimin, lalu bersabda: Tahukah kamu apa yang telah difirmankan oleh Tuhan kamu? Para kaum Muslimin menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui, lalu baginda bersabda: Allah berfirman: Di antara hamba-hambaKu, ada yang beriman kepadaKu dan ada yang kafir. Maka sesiapa yang menyatakan: Kita dituruni hujan dengan anugerah dan rahmat Allah, orang itu beriman kepadaKu dan tidak beriman terhadap bintang-bintang. Sebaliknya orang yang berkata: Kita dituruni hujan oleh bintang ini atau bintang itu, maka orang tersebut kafir terhadapKu dan beriman kepada bintang-bintang. - Hadith dari Imam Muslim
Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t berfirman: Anak Adam selalu mencaci-maki masa, padahal Akulah masa. Siang dan malam berada di tanganKu.
- Hadith dari Imam Muslim
Hadis Anas bin Malik r.a:
Diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w, baginda bersabda: Allah s.w.t telah berfirman: Sesungguhnya umatmu masih lagi mengatakan begitu dan begini sehinggalah mereka berkata: Jika Allah telah menciptakan makhluk maka siapakah pula yang menciptakan Allah? - Hadith dari Imam Muslim. << Maha Suci Allah Yang Maha Esa dan Berdiri Dengan SendiriNya. >>
Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t berfirman: Siapa lagi orang yang lebih zalim daripada orang yang cuba membuat ciptaan sama seperti makhluk-Ku? Maka lebih baik mereka cuba menciptakan zarah, menciptakan biji-bijian, atau mencipta biji gandum.
- Hadith dari Imam Muslim
Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Manusia yang paling berat seksanya pada Hari Kiamat, ialah para juru gambar ( contohnya, yang melukis gambar manusia atau gambar haiwan seperti makhluk ciptaan Allah. Di akhirat akan disuruh menghidupkan ciptaannya itu ).
- Hadith dari Imam Muslim
Hadis Abu Ayub Al-Ansariy r.a:
Seorang lelaki kampung yang dalam keadaan musafir telah menghadap Rasulullah s.a.w, lalu dia memegang tali unta baginda. Kemudian lelaki tersebut berkata: Wahai Muhammad! Ceritakanlah kepadaku perkara yang boleh mendekatkanku kepada Syurga dan menjauhkanku dari Neraka. Rasulullah s.a.w tidak segera menjawab, sebaliknya baginda memandang ke arah para sahabat sambil bersabda: Sesungguhnya dia adalah orang yang telah mendapat petunjuk. Kemudian baginda bertanya kepada lelaki tersebut: Apakah perkara yang engkau tanyakan tadi? Lelaki tersebut mengulangi pertanyaannya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau hendaklah mengabdikan diri kepada Allah, jangan menyekutukannya dengan sesuatu, dirikanlah sembahyang, keluarkanlah zakat dan pulihkanlah hubungan kekeluargaan. Sekarang lepaskanlah unta ini.
- Hadith dari Imam Muslim
Hadis Thabit bin Ad-Dhahhak r.a:
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang bersumpah dengan agama selain agama Islam secara dusta maka keadaannya adalah seperti ucapannya. Sesiapa yang membunuh dirinya sendiri maka dia akan diazab pada Hari Kiamat sebagaimana kelakuannya untuk membunuh diri. Seorang lelaki tidak boleh bernazar dengan sesuatu yang dia tidak memilikinya.
- Hadith dari Imam Muslim
Hadis Ali r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu cuba mendustakan aku kerana sesungguhnya orang yang mendustakan aku akan dimasukkan ke dalam api Neraka.
- Hadith dari Imam Muslim
Hadis Anas r.a:
Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda: Tiga perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang maka dengan perkara itulah dia akan memperolehi kemanisan iman: Seseorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada selain keduanya, mencintai seorang hanya kerana Allah, tidak suka kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya dari kekafiran itu, sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam Neraka.
- Hadith dari Imam Muslim
Hadis Itban bin Malik r.a:
Diriwayatkan daripada Mahmud bin Ar-Rabie' r.a katanya: Aku berjumpa Itban ketika aku pergi ke Madinah. Lalu aku meminta beliau meriwayatkan sebuah Hadis. Beliau berkata: Mataku ditimpa sejenis penyakit yang menyebabkan aku menghantarkan utusan kepada Rasulullah s.a.w yang mengatakan bahawa aku amat mengharapkan kedatangan Baginda untuk bersama-sama aku dan mendirikan sembahyang di rumah sehingga aku menjadikannya sebagai Musala iaitu tempat sembahyang. Itban berkata lagi: Ekoran dari itu Rasulullah s.a.w tiba bersama-sama para sahabat dan baginda terus masuk ke rumah. Aku mendirikan sembahyang sementara para sahabat masih lagi berbincang sesama mereka di mana sebahagian dari mereka memperkatakan tentang kemunafikan Malik bin Dukhsyum. Para sahabat menyebut: Harapan mereka agar Rasulullah s.a.w mendoakan ke atas Malik bin Dukhsyum agar ditimpa kecelakaan. Mereka juga inginkan supaya dia ditimpa mala petaka. Sebaik sahaja baginda selesai mendirikan sembahyang, baginda bertanya dengan bersabda: Bukankah dia mengucap Dua Kalimah Syahadat...?
Para sahabat menjawab: Dia mengucapnya hanyalah di mulut semata-mata tetapi tidak di hati. Baginda bersabda: Seseorang yang tidak mengucap Dua Kalimah Syahadat nescaya dia akan dimasukan ke dalam Neraka atau dimakan oleh api Neraka.
- Hadith dari Imam Muslim
Hadis Abdullah bin Umar r.a:
Sesungguhnya Nabi s.a.w bersabda: Apabila seseorang mengkafirkan saudaranya, maka ucapan mengkafirkan itu akan kembali kepada salah seorang di antara keduanya iaitu yang berkata atau yang dikata.
- Hadith dari Imam Muslim
Hadis Abu Zar r.a:
Beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Seseorang yang mengaku keturunannya selain dari ayahnya, padahal dia mengetahuinya, pastilah dia kafir iaitu mengingkari nikmat dan kebaikan, tidak memenuhi hak Allah dan hak ayahnya. Sesiapa mengaku sesuatu yang bukan menjadi miliknya, maka dia tidak tergolong dari golongan kami dan hendaknya dia mempersiapkan tempatnya di Neraka. Sesiapa memanggil seseorang dengan kafir atau menyatakan musuh Allah, padahal sebenarnya tidak demikian, maka tuduhan itu akan kembali kepada dirinya.
- Hadith dari Imam Muslim
Hadis Abu Hurairah r.a:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu membenci bapa-bapa kamu. Sesiapa membenci ayahnya bererti dia kafir.
- Hadith dari Imam Muslim
Hadis Saad bin Abu Waqqas r.a katanya:
Kedua telingaku mendengar daripada Rasulullah s.a.w yang bersabda: Sesiapa mengaku ayah semasa Islam selain dari ayahnya, sedangkan dia tahu bahawa itu bukanlah ayahnya, maka diharamkan kepadanya memasuki Syurga.
- Hadith dari Imam Muslim
Hadis Abdullah bin Amru bin Al-As r.a:
Seseorang telah bertanya Rasulullah s.a.w: Apakah sifat orang Islam yang paling baik? Rasulullah s.a.w bersabda: Seseorang yang menyelamatkan orang-orang Islam dengan lidah dan tangannya.
- Hadith dari Imam Muslim
Hadis Abdullah bin Amru r.a:
Seseorang telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w: Apakah sifat yang paling baik dalam Islam? Rasulullah s.a.w bersabda: Memberikan makanan serta memberi salam samada kepada orang yang engkau kenali atau pun tidak.
- Hadith dari Imam Muslim
Hadis Abu Zar r.a katanya:
Aku pernah bertanya Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah! Apakah amalan yang paling utama? Rasulullah s.a.w bersabda: Beriman kepada Allah dan berjuang pada jalan-Nya. Aku bertanya: Hamba yang bagaimanakah paling utama? Rasulullah s.a.w bersabda: Hamba yang paling baik menurut pemiliknya dan paling banyak harganya. Aku bertanya lagi: Bagaimana Jika aku tidak bekerja? Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau boleh membantu orang yang bekerja atau bekerja untuk orang yang tidak memiliki pekerjaan. Aku bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apa pendapatmu jika aku tidak mampu melakukan sebahagian dari amalan? Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau hendaklah memberhentikan kejahatanmu terhadap orang lain kerana, hal itu merupakan sedekah darimu kepada dirimu.
- Hadith dari Imam Muslim
Hadis Abu Syuraih Al-Khuza'iy r.a:
Nabi s.a.w bersabda: Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran tetangganya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia memuliakan para tetamunya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik atau diam.
- Hadith dari Imam Muslim
Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik atau diam dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Begitu juga sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat, maka hendaklah dia memuliakan para tetamunya.
- Hadith dari Imam Muslim
Hadis Ibnu Umar r.a:
Nabi s.a.w mendengar seseorang menasihati saudaranya dalam hal malu iaitu melarangnya dan menganggap perbuatan itu buruk, lalu Nabi s.a.w bersabda: Malu itu sebahagian dari iman.
- Hadith dari Imam Muslim
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
Kami berlindung kepada ALLAH daripada syaitan yang direjam. Dengan nama ALLAH, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam keatas Nabi Muhammad s.a.w. serta Keluarga dan para Sahabat Rasulullah s.a.w..
Semoga ALLAH s.w.t. senantiasa mencucuri RahmatNya keatas kami and para Muslimin dan Muslimat, Mukminin dan Mukminat, semoga ALLAH s.w.t. memberi kami ketabahan hati untuk menghadapi ujian dan cobaan di dunia yang sementara ini dan ALLAH s.w.t. senantiasa mempermudahkan urusan dan ibadah kami sepanjang hayat, semoga ALLAH s.w.t. sentiasa memberi Taufik dan HidayahNya keatas kami, memperbaiki/menetapkan ibadah-ibadah kami bersandarkan keimanan dengan ajaran Islam yang sebenar dan memberi kami kemanisan dalam iman(kekhusyukan/kelazatan dalam sholat), semoga ALLAH s.w.t. mengampunkan dosa-dosa kami dan kedua-dua ibu-bapa kami, guru-guru Islam yang telah membimbing kami, keluarga kami dan saudara-mara seIslam kami/orang-orang kami sayangi dan juga para Muslimin dan Muslimat, Mukminin dan Mukminat sama ada yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia, semoga ALLAH s.w.t. perkuatkan keimanan kami dalam beriktikad Aqidah Ahlus Sunnah Wal-Jamaah yang juga bersandarkan Al-Quran, As-Sunnah, Ijma' Ulama' & Qiyas yang sahih, semoga ALLAH s.w.t. memperbaiki akhlak kami, melapangkan rezeki kami dan memberkatkannya, semoga ALLAH s.w.t. mengangkat darajat kami supaya menjadi orang yang benar-benar ikhlas, tawadhu', bersyukur dan berilmu serta beristiqamah dalam menuntut ilmu yang bermanfaat dan terhindarlah kami dari melakukan syirik terhadap ALLAH s.w.t., moga-moga terhindarlah kami daripada bersifat munafik, kafir mahupun fasik, semoga terhapus sifat-sifat keji yang ada pada diri kami dan digantikan dengan sifat-sifat terpuji, semoga terhindarlah kami daripada siksaan sakaratul maut, azab kubor, sikaan di padang mahsyar dan siksaan api neraka, semoga ALLAH s.w.t. mematikan kami dalam Islam di akhir kalimah 'La ilaha illa Allah Muhammad Rasulullah s.a.w., semoga dengan kehendak dan Rahmat Allah s.w.t., kami memperolehi Syafaat Nabi Muhammad s.a.w. di hari akhirat kelak dan mendapat Naungan ALLAH s.w.t. di padang mahsyar dan digolong bersama golongan para Nabiyin, Sidiqin, Syuhada dan para Solihin dan semoga kami selamat meniti Titian Shiratal-Mustaqin, semoga ALLAH s.w.t. akan memasukkan kami semua ke dalam SyurgaNya atas RahmatNya. Salawat dan Salam keatas Junjungan Mulia Nabi Muhammmad s.a.w. serta keselamatan kepada ahli-ahli keluarga Rasulullah s.a.w. dan para sahabat Rasulullah s.a.w. dan segala puji-pujian hanya bagi ALLAH s.w.t. Tuhan yang Maha Esa, Yang Menguasai sekelian alam. Amin.. Ya Rabbal Al Amin..
* Jika ada sebarang kesilapan dalam penulisan atau kesukaran/kesulitan dalam pengertian, saya mohon maaf zahir dan batin. Jika ada soalan/pertanyaan atau kemusykilan tentang sesuatu perkara dalam hal-hal Agama Islam, rujuklah kepada para Alim Ulama' atau para Asatizah-asatizah yang benar-benar muktabar dalam Aliran yang betul/benar( beriktikad ajaran Aqidah Ahlus Sunnah Wal-Jemaah ). Berwaspadalah, pada akhir-akhir zaman ini banyak fahaman-fahaman yang terpesong telah menular dan mempengaruhi masyarakat Islam kita dan seluruh dunia Islam. Mahupun daripada kalangan orang-orang Islam kita sendiri(ada yang berbagai fahaman) ataupun budaya asing(seperti pengaruh Nasrani, Yahudi, Majusi mahupun yang lain-lain). Lebih-lebih lagi, sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu hingga kini, pengaruh Nasrani dan Yahudi(kafir) telah meresapi pada kehidupan/penghidupan kita. Mereka memang tidak akan senang dan duduk diam melihat orang-orang Islam sebelum dapat menyesatkan kita sebagaimana telah difirmankan ALLAH dalam Al-Quran. Sekarang ini mereka telah berjaya menyesatkan anak-anak muda-mudi mahupun orang-orang tua/dewasa Islam kita dari segi syariat seperti dari menutup aurat kepada membuka aurat dan pencampuran antara lelaki dan perempuan, dengan pengaruh kata-kata lucah, dalam hiburan dan sebagainya. Yang paling kita bimbangkan ialah mereka akan mempengaruh kita dari segi akidah ataupun fahaman. Sebab apabila akidah seseorang Islam dalam mentauhidkan ALLAH dan agama ALLAH telah rosak, maka rosaklah segala-segala ibadahnya hingga boleh membawa kepada kekafiran. Nauzubillahiminzalik. Moga-moga ALLAH melindungi kita dan anak-anak serta keluarga kita. Amin.. Contohnya, jika seseorang mempercayai yang agama lain juga benar selain daripada agama Islam, akan rosaklah akidah(kepercayaan)nya tentang ajaran Islam dan iannya boleh terkeluar dari agama Islam. Berwaspadalah, ada beberapa lelaman web tentang Islam dalam berbagai bahasa telah pun disiarkan oleh orang-orang Yahudi untuk mengelirukan setiap orang(termasuk orang-orang Islam) di seluruh dunia. Lelaman web(website) ini sebenarnya ialah untuk menggoyahkan keimanan(aqidah) kita(Umat Islam). Lebih-lebih lagi ada beberapa golongan orang-orang Yahudi/Nasrani ataupun orang-orang Orientalis yang licik berfikir telah mengarang buku-buku tentang Islam yang boleh mengelirukan kita. Hati-hatilah; sebab orang-orang kafir yang sebegini ramai yang hafal beberapa isi kandungan Al-Quran and hadis tetapi mereka tidak beriman kepada ALLAH dan tidak mendapat Hidayah dari ALLAH. Hati-hati jika berdepan dengan buku-buku tersebut, yang sekarang banyak di pasaran. Satu contoh lagi ialah, orang-orang Nasrani banyak mempengaruhi anak-anak muda-mudi Islam(termasuk diri saya) dengan senikata untuk lagu-lagu mereka sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu. Yang kita tekankan sekarang ini ialah soal Aqidah(fahaman/iman) kita yang utama kemudian syariat(cara amalan/penghidupan kita). Aqidah adalah tunggak utama dimana Iman dalam jiwa sesaorang Islam itu berdiri. Tentang lelaman web, media, hiburan(unsur dari lagu-lagu/filem-filem) dan sosial(pergaulan) telah pun saya kaji dengan teliti dan hasilnya saya dapati amat membimbangkan. Terutamanya soal anak-anak Islam kita pada masa depan. Lebih-lebih lagi umat Islam di rantau ini sedang menghadapi masalah perbezaan fahaman, penceraian yang tinggi, masalah penggunaan dadah, gejala zina yang berluluasa dan berbagai lagi. Masalah-masalah sebegini akan membuat musuh-musuh Islam mengambil kesempatan dengan kelalaian dan sesilapan kita sendiri. Tipu-daya iblis dan syaitan itu memang sangat halus untuk menyesatkan umat Islam dari secara langsung ataupun melalui orang-orang kafir terhadap kita. Saya berpesan pada diri saya sendiri(dahulu) dan anda, sebab saya juga pernah terpengaruh dengan budaya barat yang kafir hingga meluluasa. Alhamdulillah.., kerana Petunjuk dan Hidayah ALLAH s.w.t. dan dengan berkat doa dan pesanan orang-orang tua, guru-guru dan orang-orang Islam yang boleh diyakini nasihatnya yang diperkenankan ALLAH, saya mulai sedar dan terasa terdorong dengan kuat untuk menyampaikan pesanan ini. Walau bagaimanapun saya masih/sentiasa banyak kekurangan dan kesalahan/kesilapan. Saya berharap kita dapat berpesan antara satu dengan yang lain. Kerana Islam itu sememangnya nasihat-menasihati(ingat-mengingati) di kalangan orang-orang Islam. Saya alu-alukan nasihat dari anda juga. Marilah kita bersatu-padu mengukuhkan/meningkatkan keimanan kita sebagai seorang Islam yang bertakwa dengan sedaya-upaya kita dengan memimpin dan mendidik anak-anak dan keluarga kita dengan mengikut ajaran Islam yang Fardhu Ain(wajib & utama) iaitu Iman(Ilmu Tauhid/Aqidah), Islam(Ilmu Fiqeh/Syariat) dan Ihksan(Ilmu Tasawwuf/Ahklaq zahir dan batin) yang sebenar, supaya kita dapat menangkis segala pengaruh yang liar dari 'luar', InsyaAllah. Dengan cara ini juga, insya Allah dapat membuat orang-orang yang bukan Islam memahami kita(cara hidup orang-orang Muslim) dan mereka dapat melihat keindahan Islam. Bersatu kita(umat Islam) teguh. Sebab apa sekali alasan atau masalah yang kita hadapi, kita tetap harus(wajib) balik kepada agama kita(rujuk kepada ALLAH s.w.t.) kerana kita tetap bersaudara dan masalah yang ada ialah kewajipan bersama. Sama-samalah kita berdoa buat diri kita sendiri, ibu-bapa kita, anak-anak/keturunan kita, guru-guru Islam kita dan orang-orang Muslimin-Muslimat dan Mukminin-Mukminat sama ada yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia. Sesuatu yang tersilap datang dari kejahilan dan kelemahan saya sendiri dan segala yang baik dan indah hanya bagi ALLAH s.w.t. yang sentiasa memberi Rahmat, Taufiq dan HidayahNya. Maha Suci ALLAH. Wallahua'lam.
*Anda boleh mendapatkan banyak panduan dan pengajaran yang amat bermanfaat daripada hadith-hadith, maklumat-maklumat dan fakta-fakta tentang Kebenaran dan Kesucian Agama Islam dalam tujuh bahasa dengan lunsuri lelaman http://www.al-islam.com; insya Allah.
"Subhanakallahumma wabihamdika, asyhadu allaa ilaaha illa anta, astaghfiruka wa atuubuilaiik"
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
~~~~~ Persatuan Ulama' Dan Guru-Guru Agama Islam Singapura ~~~~~
~~~~~ Majlis Ugama Islam Singapura ~~~~~
~~~~~ ISLAM Online < Dalam bahasa Inggeris > ~~~~~
~~~~~ ISLAMWAY.COM
< Dalam berbagai bahasa > ~~~~~
~~~~~ An Invitation To The Truth
< Dalam bahasa Inggeris > ~~~~~
~~~~~ Website for children
< Dalam bahasa Inggeris > ~~~~~
~~~~~
International Union for Muslim Scholars (IUMS) < Dalam bahasa Arab dan Inggeris > ~~~~~
~~~~~ Lieutenant Adnan bin Saidi and The Malay Regiment
< Dalam bahasa Inggeris > ~~~~~
|
|